Thursday 31 May 2012

Etnomatematik

Etnomatematik ialah matematik yang mengambil kira budaya di mana matematik itu berkembang. Menurut Maria (1999), etnomatematik merupakan kaedah untuk menjelaskan atau memikirkan matematik dalam budaya dan mikro budaya di mana ahli-ahlinya berhubungan antara satu sama lain dengan menggunakan komunikasi biasa. Manakala Shaharir (2002) pula mendefinisikan etnomatematik Melayu sebagai matematik tinggalan tamadun Melayu yang diajar, diucap, diujar, ditulis, dipakai dan dibaca dalam bahasa Melayu dan mengikut nilai Melayu. Bagi menjelaskan tafsiran matematik Melayu pula, kupasan oleh Shaharir (2001) lebih menyeluruh, iaitu Matematik yang mengikut persepsi rumpun Melayu, termasuklah matematik yang diubahsuai kegunaan, konsep dan teorinya mengikut budaya Melayu yang luas, termasuk cara hidup, nilai, kepercayaan, ideologi, agama dan sebagainya.
Etnomatematik ialah sesuatu yang mengkaji hubungan antara matematik dengan budaya. Andaian yang dibuat ialah budaya mempengaruhi matematik dan begitu juga sebaliknya. Interaksi dan saling mempengaruhi antara budaya dan matematik membentuk etnomatematik. Dengan kata lain, etnomatematik membabitkan kajian tentang matematik yang mengambil kira budaya dalam matematik itu tersebut terbentuk dan berkembang. Sesetengah orang mengaitkan etnomatematik dengan cara kumpulan budaya yang berbeza menggunakan matematik dan dengan bentuk matematik yang berubah akibat dari keadaannya yang terkandung dalam aktiviti pembudayaan yang mempunyai tujuan lain dari melakukan matematik secara langsung. Aktiviti tersebut termasuklah membina rumah, menganyam tikar, membina kolam ikan, menukar wang, menimbang benda, menyukat ramuan bagi sesuatu masakan, menyatakan masa, melukis potret dan menenun kain.
Menurut Noor Shah (2005), guru matematik kurang berpengetahuan tentang aspek-aspek yang berkaitan dengan matlamat pendidikan matematik dan objektif kuriklum matematik KBSM. Guru-guru juga menggunakan pendekatan yang tipikal iaitu memberi keterangan, soal jawab secara lisan, memberi latihan, pemantauan dan mengakhiri pengajaran dengan memberi latihan pengukuhan. Pelajar ditekankan kepada peperiksaan semata-mata dan taksub kepada pembelajaran dan menjurus mereka kepada pemikiran yang tidak berkembang, tidak kreatif serta bebas. Dalam erti kata lain, mereka tidak berpeluang untuk melihat di mana dan apakah kegunaan subjek matematik itu sebenarnya, adakah kita perlukannya dan sebagainya. Jadi, Wahid Hashim (2006) mencadangkan agar kita mencuba pendekatan yang lebih terbuka dan bebas agar boleh menolong membuka ruang minda pelajar untuk lebih menghayati pengetahuan matematik yang dipelajari.
Guru menyelitkan aktiviti matematik yang berlaku dalam budaya masyarakat setempat seperti dalam bidang kesenian islam, penghasilan produk kraftangan tempatan, penggunaan peta dan model serta senibina. Antaranya ialah permainan congkak. Permainan congkak kita boleh aplikasinya dalam penambahan dan penolakan integer. Dalam permainan congkak, congkak mempunyai 16 lubang. 8 lubang adalah untuk lawan dan 8 lubang untuk kita. 8 lubang tersebut dibahagikan kepada lubang ibu dan 7 lubang anak. Lubang anak diletakkan 7 biji guli setiap 1 lubang tersebut. Setiap kali permainan berlangsung, biji guli akan dimasukkan ke dalam ibu masing-masing. Di akhir permainan, guli dikira untuk menentukan siapa yang menang. Bilangan guli yang berkurangan akan menyebabkan lubang yang sepatutnya terisi tidak berisi. Ini boleh dikaitkan dengan penambahan dan penolakan integar.  
permainan tradisional : congkak


No comments:

Post a Comment