Thursday 24 May 2012

Isu GSTT


6.4 Isu Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT)
Pada masa kini, hangat dengan isu guru sandaran tidak terlatih (GSTT) ini diserap menjadi guru tetap melalui program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI). Guru sandaran tidak terlatih merupakan individu yang berminat untuk menjadi guru tetapi tidak mempunyai sebarang sijil dan kelayakan seperti diploma atau ijazah yang berkaitan dengan perguruan. Mereka Tertakluk dibawah kontrak tertentu dan boleh ditamatkan tempoh perkhidmatan pada bila-bila masa sahaja mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh KPM. Isu ini telah menggugat kedudukan graduan pendidikan yang telah menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan selama empat tahun. Hal ini, tidak adil bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Pemdidikan (ISMP) kerana tempoh pelaksanaan kursus DPLI hamya dalam masa yang singkat iaitu satu tahun setengah sahaja. Sebaliknya bagi graduan ISMP mengambil masa yang lama bagi menamatkan pengajian. Di petik daripada Rancangan Malaysia Ke-10 dalam “Membangun dan Mengekalkan Modal Insan Bertaraf Dunia” satu usaha dilaksanakan iaitu Penghapusan Jaminan Penempatan Guru Pelatih. Usaha ini bertujuan memastikan penetapan keperluan kualiti minimum bagi guru baru. Pada masa kini, guru pelatih dari Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dijamin perlantikan mereka sebagai guru tanpa mengambil kira tentang prestasi mereka. Jaminan pelantikan ini akan dihapuskan dalam tempoh rancangan ini.  Oleh itu, hanya guru pelatih yang memperolehi pencapaian dan prestasi yang terbaik dan berkelayakan akan ditawarkan jawatan guru. Usaha yang kedua adalah peralihan kepada “Sistem Terbuka” dalam Latihan Guru. Pelaksanaan akan diperluaskan kepada universiti swasta berbanding hanya daripada IPG dan IPTA. Hal ini, dapat merapatkan jurang antara guru pelatih IPG dan IPTA dengan graduan IPTS bagi bersaing untuk mendapatkan jawatan guru. Usaha ini akan meliberalisasikan sistem latihan guru dan beralih kepada “sistem terbuka” bagi menambah sumber guru pelatih. Dengan penambahan ini, lebih ramai lagi guru pelatih yang cemerlang dapat dilantik sebagai guru di sekolah rendah dan menengah. Selain itu, dapat meningkatkan persaingan dalam kalangan guru pelatih dan menambah baik kualiti sistem pendidikan negara secara keseluruhannya.
Kementerian Pelajaran Malaysia telah melantik semula 6,280 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) manakala seramai 4,433 dikenal pasti tidak memenuhi syarat dan seramai 7,258 orang lagi masih menerima surat perlantikan semula sehingga akhir Julai 2011. Bilangan ini tidak termasuk sebanyak 2,153 orang yang melapor diri selepas menerima surat perlantikan. Syarat-syarat lantikan berdasarkan syarat berumur tidak melebihi 35 tahun pada 31 Disember 2010 dan berkhidmat tidak kurang dari dua tahun sehingga akhir tahun lalu. Mereka perlu menerima syarat penempatan yang tidak tertakluk kepada opsyen atau asal dan lokasi yang dipohon.  Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan, keutamaan telah diberikan untuk menyokong pelaksanaan dasar-dasar baru KPM, iaitu Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris, Kurikulum Standard Sekolah Rendah dan Penilaian Berasaskan Sekolah. Selain itu, kaedah perlantikan yang dilaksanakan adalah berdasarkan contract for service berbanding dahulunya contract of service. Contract for service bermaksud satu perjanjian untuk menyediakan perkhidmatan kepada sesorang atau sekumpulan orang. Individu yang menyediakan perkhidmatan adalah bebas daripada apa-apa kawalan dan pemantauan oleh orang atau kumpulan yang menerima perkhidmatan. Tujuannya adalah untuk menampung keperluan semula GSTT di bawah program “one-off” .contract of service pula bermaksud seseorang bersetuju untuk mengambil seseorang bekerja sebagai seorang pekerja dan seseorang bersetuju untuk berkhidmat dengan majikannya sebagai seorang pekerja. Tujuannya  adalah mengisi kekosongan jawatan sehingga sekolah menerima bekalan guru terlatih. Kaedah pembayaran elaun adalah berdasarkan Surat Pekeliling Perkhidmatan KPM Bil 1 Tahun 2007 bagi perlantikan secara contract of service. Bagi  kaedah contract for service gaji dibayar berdasarkan gred jawatan misalnya Gred 41 sebanyak RM 2,331, Gred 29 sebanyak RM 1,610 dan Gred 17 sebanyak RM 1,200 sebulan. Seterusnya, bagi mereka yang sudah mempunyai ijazah, Iatihan selama 18 bulan akan dilaksanakan di IPG iaitu program DPLI dan KPLI manakala bagi yang tidak mempunyai ijazah akan mengikuti latihan di IPTA selama 66 bulan di bawah program ljazah Sarjana Muda Pendidikan.
Menurut Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi, seramai 13,000 GSTT akan diserap sebagai guru tetap di sekolah kerajaan. Beliau berkata "Namun mereka perlu memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu pernah berkhidmat sebagai GSTT selama dua tahun berturut-turut dan umur mereka tidak melebihi 35 tahun pada 31 Disember 2010," . Mereka ditawarkan kursus DPLI bagi melayakkan diri untuk jawatan yang tetap tanpa melanjutkan sebarang kontrak. Oleh itu, mereka dihantar ke IPG dan IPTA diseluruh negara untuk menyambung pengajian dalam bidang pendidikan. Penyerapan ini bertujuan untuk menghargai jasa dan sumbangan GSTT yang telah berkhidmat melebihi 2 tahun di sekolah-sekolah KPM. Perkara ini amat tidak adil kepada graduan ISMP kerana mereka mempunyai hak yang utama dalam penempatan guru tetap. Selain itu, mereka juga perlu bersedia untuk ditempatkan di kawasan yang kekosongan di seluruh negara.
Isu guru sandaran tidak terlatih ini memberikan kesan yang sangat mendalam terhadap graduan ISMP di mana menggugat kedudukan siswazah dari ISMP dan IPG yang baru menamatkan pengajian. Mereka mempunyai masalah untuk penempatan di sekolah. Ia juga telah mencabar kreadibiliti mahasiswa yang menceburi bidang pendidikan. Masalah ini berterusan sehingga berlakunya masalah pengangguran dalam kalangan guru yang mana graduan ISMP terpaksa menjadi guru ganti sahaja di sekolah. Kelemahan guru sandaran tidak terlatih ini, sesetengah daripada mereka kurang pengetahuan dalam isi pengajaran dan pedagogi. Segelintir juga yang tiada langsung pengetahuan mengenai pedagogi dalam pengajaran. Hal ini dapat mempengaruhi pengajaran guru sandaran tidak terlatih di sekolah. Mereka hanya mengajar mengikut pengetahuan sendiri tanpa berpandukan kemahiran dan teknik yang sepatutnya diterap dan diguna pakai. Selain itu, terdapat juga segelintir GSTT yang mempunyai masalah disiplin dan juga sahsiah yang kurang memuaskan kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang etika perguruan. Langkah untuk mengatasi masalah ini, kerajaan perlu menyediakan latihan yang mencukupi kepada GSTT untuk berkhidmat dalam bidang pendidikan. Latihan yang sedia ada sekarang tidak cukup untuk menjadikan mereka seorang guru yang ccemerlang dan berkualiti. Seterusnya, meningkatkan jangka masa untuk latihan perguruan bagi GSTT supaya lebih mahir dalam bidang pendidikan. Bak kata pepatah “ sikit-sikit, lama-lama, jadi bukit”, di mana pengalaman yang kita kumpul dari masa ke semasa, akan menjadi banyak dalam jangka masa yang lama. Akhir sekali, kerajaan perlu adil dalam mengisi penempatan bagi GSTT dan GST supaya kerajaan tidak rugi dalam membiayai pengajian graduan ISMP selama empat tahun tanpa memberikan keutamaan terhadap mereka berbanding GSTT.


No comments:

Post a Comment