Thursday 24 May 2012

Definisi Pensijilan Guru


3.0 Definisi Pensijilan Guru
Menurut Kamus Dewan edisi kedua, pensijilan bermaksud pemberian sijil kepada seseorang atau pihak kerana telah mencapai piawai dan syarat yang ditetapkan bagi membuktikan barangan yang dikeluarkan adalah berkualiti. Pensijilan guru adalah pemberian sijil kepada seorang guru yang telah mencapai syarat yang ditetapkan oleh kerajaan dan merupakan guru yang berkualiti.
            Kretiria bagi mendapatkan pensijilan guru ialah memerlukan pelajaran yang tinggi dan latihan khas, kemahiran diiktiraf, lulus peperiksaan profesional, mengutamakan dan bertanggungjawab terhadap pelanggan, mematuhi kod etika dan mempunyai satu badan bebas yang mengawal kualiti. Latihan perguruan bertujuan untuk membolehkan guru pelatih menyesuaikan diri dengan suasana sekolah, mendapat pengalaman dan mencari kaedah pengajaran yang sesuai. Seorang guru bukan sahaja mengajar mata pelajaran yang diajar dan mempunyai ilmu pengetahuan opsyen yang diajar sahaja, tetapi juga perlu mengetahui teori pengajaran dan pembelajaran dan teknik-teknik pengajaran yang betul.
            Memang tidak dinafikan bahawa perguruan adalah salah satu profesion yang mencabar dan amat mendesak (Noriati Rashid, Boon Pong Ying & Wong Kiet Wah, 2010). Guru diharap mengetahui serba serbi tingkah laku manusia dan memainkan pelbagai peranan untuk menjadikan dirinya seorang profesional yang berkesan. Ciri-ciri profesion perguruan adalah perkhidmatan unik, pengetahuan dan kemahiran, latihan khusus, autonomi, tanggungjawab, badan profesional dan kod etika.

            Pertama ialah Perkhidmatan Unik. Profesion perguruan adalah bidang yang memberi perkhidmatan yang unik dan diperlukan oleh masyarakat. Keunikannya hanya akan dirasai dan diketahui oleh mereka yang terlibat dalam profesion ini. Hanya guru sahaja yang berkemampuan memberi perkhidmatan pendidikan terbaik kepada masyarakat untuk membangankan personaliti, kebolehan mental dan fizikal setiap pelajar (Noran Fauziah dan Ahmad Mahdzan, 1993). Profesion perguruan tidak hanya profesion yang tertua di dunia tetapi adalah unik dan pelbagai. Guru tidak hanya penyampai ilmu tetapi juga kaunselor, pentadbir, perangsang (motivator), sebagai ibu bapa, pemimpin, pengurus instruksional dan lain-lain. Walau pun kanak-kanak boleh didik oleh ibu bapa mereka, televisyen atau internet, namum guru adalah pakar yang dilatih untuk mewariskan pengetahuan dan kemahiran.

            Kedua, ialah Pengetahuan dan Kemahiran. Untuk menjadi guru bertauliah, seseorang mesti memperoleh pengetahuan dan kemahiran spesifik melalui latihan dalam suatu tempoh yang berpanjangan. Mengikut Shulman (1987), pengetahuan yang perlu dikuasai oleh guru
termasuk:

 Pengetahuan tentang falsafah dan sejarah pendidikan
 Pengetahuan isi kandungan mata pelajaran (Content Knowledge)
 Pengetahuan kandungan pedagogi (Pedagogical Content Knowledge)
 Pengetahuan mengenai kurikulum (iaitu, sukatan pelajaran, bahan pembelajaran,
      alat bantuan mengajar dan sebagainya)
 Pengetahuan tentang pengurusan bilik darjah
 Pengetahuan mengenai pentadbiran dan budaya sekolah

Ketiga, ialah Latihan Khusus. Untuk menjadi guru, individu perlu menerima latihan yang khusus. Program-program Sarjana Muda Pendidikan (B.Ed) yang di tawarkan universiti-universiti dan Institut Pendidikan Guru (IPG) mengambil masa 4 tahun yang termasuk praktikum atau latihan mengajar yang wajib untuk semua guru pelatih. Program-program Sarjana Muda Pendidikan yang ditawarkan meliputi berbagai-bagai pengkhususan seperti pengajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, sains, matematik, sejarah dan sebaginya. Juga ditawarkan ialah Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) untuk mereka yang sudah memiliki ijazah sarjana muda daripada apa jua bidang pun yang ingin dilatih menjadi guru. Institut Pendidikan Guru (IPG) pernah menawarkan program sijil and diploma pendidikan selama 3 tahun. Walau pun terdapat, berbagai-bagai program latihan guru, masih terdapat
beribu-ribu guru yang mengajar di tadika dan prasekolah yang tidak memiliki latihan perguruan. Juga terdapat guru-guru sandaran mengajar di sekolah sekolah dan tidak mempunyai kelayakan perguruan.

Keempat, ialah Autonomi. Walau pun guru mempunyai autonomi, ia adalah terhad berbanding dengan profesion lain. Contohnya, seorang peguam atau akuantan boleh menolak dan memilih pelanggannya (walau pun amalan ini tidak digalakkan), guru tidak boleh memilih pelajar yang diajar. Begitu juga dengan kurikulum yang perlu diajarnya telah ditentukan orang lain tetapi guru bebas menentukan kaedah mengajar yang memadai. “Bilik darjah seseorang guru adalah mahligainya, kerana di sini ia boleh mencuba berbagai-bagai cara pengajaran dan mempunyai autonomi yang jarang dipersoalkan” (Sharifah Alwiah Alsagoff, 1986, h: 223).

Kelima, ialah Tanggungjawab. Menurut Tatasusila Kementerian Pendidikan Malaysia, guru bertanggungjawab terhadap pelajar, terhadap ibu bapa, kepada masyarakat dan negara, dan kepada rakan sejawat dan profesion. Bagaimana pun guru jarang sekali, atau tidak pernah dipecat jawatannya kerana sebahagian murid dalam kelasnya tidak dapat membaca. Setelah seseorang guru disahkan dalam jawatan, memang sukar bagi guru berkenaan dipecat, kecuali atas alasan-alasan jenayah atau kerana hukuman mahkamah.
Keenam, ialah Badan Profesional. Mengenai badan atau kesatuan perguruan mengawasi kod etika perguruan, perkara ini tidak begitu berkesan. Kesatuan-kesatuan tersebut lebih mengutamakan perkara yang berkaitan dengan skim perhidmatan seperti gaji dan faedah-faedah lain. Bukan semua guru diwajibkan menjadi ahli sesuatu kesatuan. Tambahan pula terdapat banyak kesatuan dan persatuan guru yang mempunyai matlamat penubuhan mereka yang berbeza.

Ketujuh ialah Kod Etika. Kod etika profesion perguruan ditentukan oleh ‘Ikrar Guru’ dan ‘Tatasusila Kementerian Pendidikan Malaysia’. Oleh kerana guru (kecuali guru disektor swasta) adalah pekerja kerajaan, tingkah laku dan tindakan mereka dipantau melalui Perintah-Perintah Am Kerajaan yang memperincikan tindakan yang dilarang sama sekali dan tindakan yang boleh dilakukan dengan izin. Perintah-Perintah Am juga memperincikan hukuman yang boleh dikenakan bersabit dengan pelanggaran sesuatu peraturan.

Pada umumnya, kerjaya perguruan menepati ketujuh-tujuh ciri sesuatu profesion. Bagaimana pun terdapat beberapa kriteria yang kurang meyakinkan bahawa perguruan ialah suatu profesion. Contohnya, mereka yang tidak mempunyai kelayakan perguruan dibenarkan mengajar di sekolah dan di tadika. Keadaan sedemikian tidak akan dibenarkan sama sekali bagi profesion perubatan, profesion undang-undang atau profesion kejuruteraan.

            Jadual 1.1 menunjukkan bilangan guru di Malaysia yang mengajar lebih kurang 5.4 juta pelajar. Adalah dianggarkan terdapat kira-kira 10,000 guru tadika yang mengajar di tadika tajaan kerajaan dan swasta.



LELAKI
PEREMPUAN
RENDAH
72 266
164 047
MENENGAH
55 155
121 252
JUMLAH
127 421
285 299

Jadual 1.1 Bilangan guru sekolah rendah dan menengah di Malaysia (KPM, 2012)

1 comment:

  1. JW Marriott Las Vegas: The WynnBET Experience | JTM Hub
    Located in the heart of 김포 출장마사지 the 논산 출장샵 Las Vegas 사천 출장안마 Strip, this 안산 출장마사지 elegant hotel provides guests with a full-service spa, a 서산 출장샵 golf course, and a spa tub.

    ReplyDelete