Thursday 24 May 2012

Jenis Pendidikan Guru di Malaysia


4.0 Jenis Pendidikan Guru di Malaysia
Istilah pendidikan guru mula digunakan secara rasmi pada tahun 1981 bagi menggantikan istilah latihan perguruan yang telah digunakan sebelumnya. Perubahan ini adalah berikutan penukaran nama Bahagian Latihan Guru (BLG) kepada Bahagian Pendidikan Guru (BPG). Seiringan dengan itu, berlaku pula perubahan dalam program pendidikan guru di peringkat maktab perguruan dengan tempoh berkursus telah dilanjutkan daripada dua tahun kepada tiga tahun (Laporan Jawatan Kuasa Kabinet, 1979: 61).

Pendidikan guru merupakan salah satu bahagian yang terpenting dalam sistem pendidikan. Kejayaan pelaksanaan kurikulum dalam pendidikan adalah bergantung sejauh mana seseorang guru dapat membentuk muridnya menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat dan negara. Hal ini adalah kerana kemahiran profesional seseorang guru terletak pada keupayaannya menggunakan ilmu pengetahuan dan dengan itu membentuk sikap dan nilai yang betul (Workshop Reports, 1970: 7).

Peranan guru menjadi semakin mencabar berikutan perkembangan bidang pendidikan yang begitu pesat sekali. Pendidikan guru di Malaysia adalah satu tindakan yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mendedahkan kaedah dan teknik pengajaran secara formal kepada setiap bakal guru, sama ada di maktab-maktab perguruan atau di pusat-pusat pengajian tinggi awam bagi menyesuaikan bakal guru dengan tugas apabila berada dalam bilik darjah nanti. Malaysia sebagai sebuah negara membangun telah berusaha untuk membentuk perkembangan sistem pendidikannya yang tersendiri. Oleh hal yang demikian Dasar Pelajaran Kebangsaan (1956) telah dibentuk bertujuan memberi arah tuju kepada perkembangan masyarakat negara ini agar hasrat yang dicita-citakan itu tercapai. Selepas negara mencapai kemerdekaan, Kerajaan Persekutuan telah mula melaksanakan program pendidikan kepada masyarakat secara bersungguh-sungguh. Langkah pertama telah diambil pada tahun 1957 ialah dengan menukarkan sekolah rendah yang sedia ada kepada sekolah kebangsaan. Tindakan ini telah menyebabkan guru menjalani latihan perguruan yang sama (EPRD,1968: 20).

Perubahan dan perkembangan kurikulum pendidikan guru di Malaysia berlaku ekoran usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat universiti. Justeru, tumpuan kepada pendidikan guru secara besar-besaran bermula pada tahun 1956 dan pada tahun 1957 Maktab Perguruan Harian (DTC) dan Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang serta Maktab Perguruan Persekutuan Kuala Lumpur ditubuhkan.

Secara kronologinya, sejarah pendidikan guru sekolah menengah bermula sejak penubuhan Jawatankuasa Barnes dan Fenn-Wu pada tahun 1951, Penyata Razak tahun 1956, Ordinan Pelajaran 1957, Penyata Abdul Rahman Talib tahun 1960, Akta Pelajaran 1961, Jawatankuasa Kabinet 1974, Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979 sehingga Jawatankuasa Pendidikan 1981. Seterusnya pada tahun 1987 Akta Pelajaran 1961 telah diadakan semakan semula bertujuan mengkaji semula Dasar Pendidikan Kebangsaan dalam Akta Pelajaran 1961 tersebut (Esah Sulaiman, 2003: 146).

Bagi melaksanakan dasar pendidikan, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan telah melatih tenaga pengajar untuk mengajar di peringkat sekolah rendah, menengah rendah dan menengah atas. Pada tahun 1960, Kementerian Pelajaran telah menubuhkan Bahagian Latihan Guru untuk menyelaraskan program-program di peringkat maktab. Penubuhannya merupakan usaha kerajaan memberi kepentingan kepada pendidikan guru. Pembinaan beberapa buah maktab perguruan membuktikan bahawa betapa pentingnya usaha untuk melahirkan guru-guru yang bertauliah. Hal ini adalah kerana pendidikan guru merupakan satu aspek yang amat penting dalam menentukan kejayaan polisi kerajaan.

Sehingga tahun 1963, pendidikan guru bagi guru-guru sekolah menengah telah diadakan di lima buah maktab perguruan iaitu Maktab Perguruan Kirkby di England (1952), Maktab Perguruan Kota Bharu (1954), Maktab Perguruan Briensford Lodge di England (1956), Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang (1957) dan Maktab Perguruan Persekutuan Kuala Lumpur (1963). Namun begitu, dengan pembangunan negara yang begitu pesat maka bagi memenuhi tuntutan masyarakat terhadap keperluan pendidikan, sehingga tahun 1986 terdapat sebanyak 29 buah maktab perguruan telah berjaya ditubuhkan oleh kerajaan. Daripada jumlah tersebut terdapat maktab perguruan yang melatih guru-guru untuk mengajar di sekolah rendah dan ada maktab yang hanya melatih guru untuk mengajar di sekolah menengah. Namun begitu, terdapat juga maktab yang melatih guru-guru yang mengajar di sekolah rendah dan juga di sekolah menengah. Sekarang maktab lebih dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG) yang memperkenalkan program pendidikan guru pra perkhidmatan bagi sekolah menengah dan sekolah rendah.

Terdapat juga beberapa isntitusi pengajian tinggi yang menawarkan bidang pendidikan seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris. Sepanjang mengikuti bidang pendidikan ini para bakal guru akan mempelajari 3 komponen utama iaitu ikhtisas yakni yang berkaitan dengan profesion pendidikan dan keguruan seperti psikologi, sosiologi, falsafah, pedagogi dan sejarah pendidikan. Manakala komponen yang kedua ialah akademik yang mana setiap bakal guru akan mendalami subjek atau mana-mana mata pelajaran yang bakal mereka ajar di sekolah kelak. Di samping itu bakal guru juga akan dibekalkan ilmu tentang kaedah pengajaran, pengajaran mikro, membina bahan pengajaran, dan membina penilaian dan pengukuran bagi sesuatu pengajaran kelak. Komponen yang ketiga pula melibatkan perkembangan diri seseorang calon guru itu. Guru-guru diwajibkan untuk menyertai berbagai-bagai kegiatan kokurikulum bagi membina sahsiah dan perwatakan guru yang berdedikasi, fleksibel dan berhemah tinggi.

No comments:

Post a Comment