Thursday 24 May 2012

Isu KPLI dan DPLI


6.2 Isu Kursus Pendidikan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI).
Terdapat empat isu yang melibatkan guru-guru KPLI dan DPLI ini. Antaranya ialah minat, jalan mudah mencari pekerjaan, penguasaan kemahiran pelajar KPLI dan DPLI dalam kursus ikhtisas dan menolak hak pelajar ISMP yang layak.
Bagi isu yang pertama iaitu isu minat, isu ini sentiasa dibangkitkan ialah sama ada calon guru KPLI dan DPLI yang berjaya dipilih adalah benar-benar layak dan ingin menjadi seorang guru. Terdapat sebilangan kecil guru yang memilih profesion perguruan dengan motif peribadi seperti mendapat gaji yang tetap, cuti yang panjang dan pada jangkaan mereka bidang ini mudah serta tidak mencabar. Faktor keupayaan menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja dalam bentuk kesesuaian jenis personaliti seseorang dengan persekitaran itu merupakan satu faktor yang besar. Apabila jenis personaliti tersebut tidak sepadan dengan persekitarannya, maka berlakulah punca kepada sikap tidak berminat terhadap kerja mahupun perkembangannya ( Holland, 1973). Kajian yang dijalankan terhadap beberapa orang guru mengenai kejadian burn-out terhadap guru jelas menunjukkan faktor bahawa guru yang seringkali menghadapi masalah ini adalah guru yang kurang berminat sejak dari awal lagi dalam bidang yang diceburi (Wan Mohd Zahid Nordin). Maka, tidak hairanlah hasil kajian Trends In International Mathematics and Science Study ( TIMSS) menunjukkan penurunan dalam pencapaian pelajar Malaysia berbanding negara lain seperti Hong Kong, Singapura dan Korea Selatan (Jabatan Perdana Menteri, 2009)
Bagi isu yang kedua pula ialah isu mengenai jalan mudah mencari pekerjaan. Ramai yang menganggap kerjaya perguruan ini merupakan salah satu kerjaya yang diceburi sebagai batu loncatan sahaja. Menurut Daisy Ee (1974) dan Obura (1974), ramai yang memilih kerjaya perguruan ini setelah gagal memasuki bidang-bidang lain dan guru menjadi pilihan mereka yang terakhir. Jadi kebanyakan daripada mereka asalnya gagal bersaing dalam pasaran kerja yang semakin mencabar membuatkan mereka mengambil inisiatif mudah dengan masuk ke dalam bidang pendidikan atas tiket KPLI dan DPLI. Hal ini dikukuhkan lagi dengan kajian yang dilakukan oleh Mahadi Hj. Khalid dan Salehudin Hj. Sabar (2005) yang menunjukkan sebanyak 53.10 peratus pelajar KPLI tiada pilihan lain yang mendorong mereka mengambil Kursus Pendidikan Lepasan Ijazah.
Selain itu, isu yang diketengahkan ialah tahap penguasaan kemahiran palajar KPLI dan DPLI dalam kursus ikhtisas. Penekanan banyak diberikan kepada kursus-kursus ikhtisas pendidikan untuk membolehkan pelajar-pelajar menguasai pengetahuan dan kemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran. Kursus-kursus tumpuan kedua kurang diberi penekanan walaupun ianya amat penting bagi melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan kemahiran kandungan kursus pendidikan teknikal yang menjadi opsyen utama. Keadaan ini akan mendorong Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) melahirkan guru-guru pelatih KPLI dan DPLI yang kurang berkemahiran mengajar pedagogi, kurang menguasai bidang pengkhususan dan kurang mahir dalam komunikasi ( Akhbar Utusan Malaysia, 31 Oktober 2004).
Seterusnya, isu menolak hak pelajar ISMP yang layak. Kewujudan guru-guru lepasan KPLI dan DPLI sedikit sebanyak telah mengganggu penempatan guru-guru lepasan ijazah pendidikan. Hal ini adalah guru-guru lepasan KPLI dan DPLI ini merupakan pelajar tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Guru-guru lepasan KPLI dan DPLI ini dijamin penempatannya dan ditempatkan terlebih dahulu kemudian sekiranya ada kekosongan guru-guru lepasan ijazah pendidikan pula yang akan diserap. Ini sekaligus akan meningkatkan pengangguran negara. Tujuan utama pelaksanaan KPLI dan DPLI sebelum ini adalah untuk menampung kekurangan guru lepasan pengajian pendidikan namun situasi yang berlaku kini menjadi sebaliknya.
Kesan-kesan daripada isu-isu yag disebutkan adalah dengan adanya pengangguran pelajar ISMP maka ini akan meningkatkan kadar pengangguran negara. Di samping itu, ia tidak dapat memartabatkan profesion perguruan maka akan lahirlah modal insan yang tidak berkualiti.
Langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini ialah untuk individu itu sendiri hendaklah menceburi bidang pendidikan adalah kerana mempunyai minat yang mendalam dalam bidang ini dan sanggup berkorban demi kepentingan pendidikan anak bangsa. Kemudian bagi kerajaan pula, KPLI dan DPLI hendaklah dibuka hanya apabila ada keperluan bagi menampung kekosongan yang dilakukan oleh pelajar ISMP. Seterusnya pemilihan dan kelayakan permohonan untuk masuk ke dalam profesion perguruan perlu diperhalusi dan diperketatkan. 

No comments:

Post a Comment